KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah mengumumkan insentif khas sebanyak RM300 kepada semua pelajar di bawah program “Tuisyen Rakyat Risda” (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah – RISDA) yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, sebagai penghargaan atas pencapaian mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata seramai 884 peserta program tersebut memperoleh keputusan cemerlang, termasuk 17 pelajar yang mendapat 11A, 16 pelajar dengan 10A, dan 72 pelajar lagi memperoleh 9A.
“Saya amat berbangga dengan peningkatan prestasi ini. Jumlah pelajar cemerlang, iaitu yang mendapat 5A dan ke atas, telah meningkat daripada 654 orang pada tahun 2023 kepada 884 orang tahun ini. Ini adalah hasil usaha bersama para pelajar, ibu bapa, guru-guru, serta ekosistem pendidikan luar bandar secara menyeluruh, termasuk RISDA. Insentif khas ini adalah tanda penghargaan terhadap usaha gigih dan semangat juang anak muda luar bandar kita,” katanya.
Beliau menambah, kejayaan para pelajar RISDA ini membuktikan bahawa tinggal di kawasan pedalaman bukanlah halangan untuk mencapai kecemerlangan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika majlis penghargaan pelajar cemerlang “Program Tuisyen Rakyat Risda”, yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib.
Beliau berkata program tuisyen RISDA ini mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam menyediakan akses pendidikan yang adil kepada semua, tanpa mengira latar belakang atau lokasi, sambil menambah bahawa sejak diperkenalkan pada tahun 2007, program ini telah membantu seramai 35,316 pelajar dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM31.03 juta.
