KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) meningkatkan purata harga belian oleh RISDA Plantation Sdn. Bhd. (RPSB) daripada sekitar RM3 kepada RM3.70 sekilogram, sekali gus memperkukuhkan peranannya sebagai pembeli getah utama.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah komited memperkasa sektor komoditi getah negara melalui pendekatan lebih strategik, bersepadu dan berimpak tinggi, demi memastikan kemampanan ekosistem pembangunan negara khususnya melibatkan komuniti pekebun kecil dalam mendepani ketidaktentuan global.
Menurutnya, sebelum ini, harga getah di peringkat ladang hanya sekitar RM3 sekilogram, menyebabkan pekebun kecil berkeluasan satu hektar hanya memperoleh kira-kira RM750 sebulan.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, peningkatan ini melonjakkan purata pendapatan bulanan pekebun kecil daripada RM1,125 kepada RM1,387.50, dengan tambahan sekitar RM387.50 sebulan atau RM4,650 setahun bagi setiap pekebun kecil.
Bagi kebun seluas 1.5 hektar, pendapatan dijangka mencecah RM1,708 sebulan, manakala bagi keluasan 2.0 hektar ke atas, berpotensi mencapai sekitar RM2,278 sebulan.
“Inisiatif ini dilaksanakan melalui Program Pengeluaran Getah dengan pelantikan RISDA Plantation Sdn. Bhd. (RPSB) sebagai agen pelaksana bagi pembelian getah secara runcit dan berkelompok.
“Langkah ini berlandaskan peruntukan di bawah Akta RISDA 1972 (Akta 85) yang memberi ruang kepada RISDA memainkan peranan lebih aktif dalam rantaian perdagangan getah negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Melalui pelaksanaan ini, Ahmad Zahid berkata, RISDA memperkenalkan pendekatan lebih adil dan telus, termasuk penetapan potongan harga maksimum di Semenanjung, penambahbaikan insentif berasaskan output, rundingan harga yang lebih kompetitif bersama kilang pemprosesan, serta
pemanfaatan 181 depo pengumpulan sedia ada di seluruh negara.
Bagi kawasan tanpa kemudahan depo, perkhidmatan pemasaran getah bergerak turut diperkenalkan bagi memudahkan urusan pekebun kecil.
Dalam tempoh pelaksanaan aktif sejak awal Januari 2026, RISDA telah membeli dan mengumpul sebanyak 1,197.77 tan metrik getah pekebun kecil dengan nilai belian terkumpul RM3.79 juta setakat Februari.
Ini membuktikan dasar yang tepat mampu mengembalikan keyakinan pekebun kecil untuk kembali aktif mengusahakan kebun mereka.
Lebih penting, jelas beliau, inisiatif ini dijangka memberi impak signifikan kepada negara.
Menurut beliau, pengeluaran getah domestik berpotensi meningkat sehingga 75 peratus, dengan sasaran kutipan 300,000 tan metrik pada tahun 2026, menyumbang sekitar 29 peratus kepada keperluan domestik.
“Langkah ini amat penting bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import getah asli yang dianggarkan bernilai RM7.6 bilion pada tahun 2024.
“Malah, inisiatif RISDA sebagai pembeli getah utama merupakan langkah strategik untuk mengangkat semula martabat industri getah negara, memperkukuh rantaian bekalan tempatan, meningkatkan pendapatan rakyat desa, serta memastikan masa depan sektor komoditi ini kekal berdaya saing,” tambah beliau.
Katanya, kerajaan akan terus memastikan agenda memakmurkan lebih 508,000 pekebun kecil di seluruh negara dapat direalisasikan secara menyeluruh, selaras dengan semangat Aspirasi Desa Madani yang menekankan kesejahteraan rakyat, kemampanan ekonomi dan pembangunan yang saksama.
Sumber: Malaysia Gazette
