Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen GEMPAK dan Program Pekebun Kecil Makmur RISDA Kedah.
Turut hadir sama Tuan Haji Ramlie Tumin, Pengarah Bahagian Pengembangan dan Pemindahan Teknologi RISDA; Noor Azah Ali@Ahmad, Penolong Pendaftar Kanan Pejabat Pertubuhan Belia Zon Utara; Mohd Rosli Hassan, Pengarah RISDA Negeri Kedah dan Datuk Normah Haji Awang, Ketua Penyelaras Penggerak Watan RISDA (PEWARIS) Kedah/Perlis.
Seramai 1,000 peserta berusia 18 hingga 40 tahun dari 15 Parlimen seluruh Kedah hadir pada konvensyen itu.
Manndzri berkata, GEMPAK akan menjadi jambatan penghubung RISDA dan komuniti belia desa dalam menyampaikan maklumat bantuan, latihan dan peluang ekonomi.
Katanya, ahli GEMPAK berperanan sebagai role model kepada rakan sebaya untuk ceburi bidang keusahawanan, agromakanan, ekonomi gig dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan RISDA.
Selain itu, beliau berkata, RISDA Kedah menerima peruntukan RM26.91 juta tahun ini bagi membangunkan 293,000 keluarga pekebun kecil melalui empat fokus iaitu tanam semula getah, peningkatan produktiviti, pembangunan modal insan dan peningkatan ekonomi.
Katanya, langkah ini penting kerana harga getah dunia tidak menentu menuntut pekebun mempelbagaikan sumber pendapatan.
“RISDA sediakan bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan dan program keusahawanan dengan suntikan modal sehingga RM10,000 untuk memulakan perniagaan, sebelum diperkasa ke peringkat lebih tinggi.
“Kita ada 16,000 usahawan bimbingan RISDA di seluruh negara dan sasaran kita lahirkan lebih ramai usahawan berpendapatan melebihi RM15,000 sebulan,” katanya.
Manndzri berkata, masa depan industri getah bergantung kepada kesediaan generasi muda kembali melihat komoditi itu sebagai sumber rezeki berdaya maju, terutama jika harga kembali stabil.
“Dengan adanya GEMPAK yang diinstitusikan secara rasmi ini, kita yakin gelombang baharu belia pekebun kecil bangkit memacu sektor getah ke tahap lebih tinggi,” katanya.