RISDA Tingkatkan Produktiviti Getah, Lancar SME Agronomi & Buku Klon Getah

RISDA menegaskan komitmennya terhadap pekebun kecil getah melalui Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat bulan Mac 2026 yang berlangsung di Auditorium Sultan Ahmad Shah (ASAS), hari ini.

Pengerusinya, Manndzri Nasib berkata, RISDA terus komited untuk terus berperanan sebagai pemangkin perubahan dalam membina daya tahan industri getah, memperkasa komuniti pekebun kecil dan memastikan getah negara terus berdaya saing di peringkat global.

Ujarnya, usaha ini selaras dengan aspirasi “Glory to 1 Million” iaitu sasaran pengeluaran satu juta tan metrik getah asli setahun menjelang 2030.

“Sebagai agensi yang menerajui pembangunan komuniti pekebun kecil, kita perlu menjadi pemangkin perubahan, memperkasa komuniti, dan memastikan getah negara terus unggul di persada dunia.”

Beliau menekankan bahawa tema majlis “Mendepani Cabaran, Mengungguli Kelestarian” bukan sekadar slogan, tetapi merupakan amanah untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian input pertanian dan produktiviti kebun getah.

Jelasnya, untuk 2026, RISDA menyasarkan penyediaan 5.09 juta benih getah dengan peruntukan RM32.42 juta bagi 10,000 hektar, manakala bekalan baja sebanyak 778,258 beg bernilai RM54.59 juta akan menampung 57,960 hektar kebun.

“Setiap inisiatif ini dirancang untuk memberi manfaat kepada ribuan pekebun kecil dan memastikan setiap langkah pembangunan industri getah dilaksanakan secara teratur dan berkesan.”

Majlis turut menyaksikan Penyerahan Watikah Subject Matter Expert (SME) Bidang Agronomi dan pelancaran Buku Klon Getah, sebagai bahan rujukan teknikal rasmi kepada warga RISDA, khususnya di peringkat lapangan, bagi memastikan proses pengenalpastian dan pemilihan klon getah dilaksanakan secara tepat dan seragam.

“Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh kepakaran teknikal dalaman agensi, malah menunjukkan komitmen kita untuk terus memimpin perubahan dan mencetus transformasi dalam operasi pembangunan RISDA.”

Manndzri yang juga Ahli Parlimen Tenggara juga menyeru warga RISDA agar menjadi ejen perubahan dengan mengamalkan budaya prestasi tinggi serta komited dalam memastikan setiap inisiatif yang dirancang memberi impak positif berterusan kepada komuniti pekebun kecil dan industri getah negara.

“Tidak kira jawatan atau peranan, sumbangan kita semua amat penting dalam memastikan organisasi ini terus relevan, dihormati dan diyakini.”

Sumber: UMNO Online

 

Anda suka artikel ini? Kongsikan

Facebook
X
LinkedIn
Pinterest
WhatsApp
Telegram
Email