Program Pembeli Utama Getah RISDA catat RM3.79 juta setakat Februari

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berjaya mengumpul sebanyak 1,197.77 tan metrik getah pekebun kecil dengan nilai pembelian mencecah RM3.79 juta setakat Februari lalu menerusi inisiatif Pembeli Utama Getah yang dilaksanakan sejak awal Januari 2026.

Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif berkenaan merupakan langkah strategik untuk mengembalikan martabat industri getah negara.

Menurut beliau, usaha itu turut membantu mengukuhkan rantaian bekalan tempatan, meningkatkan pendapatan luar bandar serta memastikan daya saing masa depan sektor komoditi berkenaan.

“Inisiatif ini dijangka memberi impak besar kepada negara apabila pengeluaran getah domestik berpotensi meningkat sehingga 75 peratus, dengan sasaran kutipan sebanyak 300,000 tan metrik pada tahun 2026.

“Ia sekali gus menyumbang kira-kira 29 peratus kepada keperluan domestik serta mengurangkan kebergantungan negara terhadap import getah asli yang dianggarkan bernilai RM7.6 bilion pada tahun 2024,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus memastikan usaha meningkatkan taraf hidup lebih 508,000 pekebun kecil di seluruh negara dapat direalisasikan selaras dengan Aspirasi Desa MADANI.

Tambah beliau, Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui RISDA akan terus memperkukuh peranannya sebagai Pembeli Utama Getah, termasuk meningkatkan purata harga pembelian oleh RISDA Plantation Sdn. Bhd. (RPSB) daripada sekitar RM3.00 kepada RM3.70 sekilogram.

Katanya, sebelum ini harga getah di peringkat ladang hanyalah sekitar RM3.00 sekilogram, menyebabkan pekebun kecil yang memiliki satu hektar tanah hanya memperoleh kira-kira RM750 sebulan.

“Peningkatan ini akan secara langsung menaikkan purata pendapatan bulanan pekebun kecil daripada RM1,125 kepada RM1,387.50, dengan tambahan sebanyak RM387.50 sebulan atau RM4,650 setahun bagi setiap pekebun kecil.

“Bagi ladang seluas 1.5 hektar, pendapatan dijangka mencecah RM1,708 sebulan, manakala bagi kawasan seluas 2.0 hektar dan ke atas, ia berpotensi mencapai sekitar RM2,278 sebulan,” katanya.

Sumber: Malaysia Tribune

Anda suka artikel ini? Kongsikan

Facebook
X
LinkedIn
Pinterest
WhatsApp
Telegram
Email