RISDA galak pemulihan kebun getah terbiar tingkat pengeluaran hasil

KULIM, 15 Mac – Pemilik kebun getah terbiar yang tidak diusahakan disaran mengusahakan semula kebun masing-masing bagi meningkatkan pengeluaran hasil getah negara.

Penasihat Program dan Aktiviti KEDA Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Muhar Hussain berkata langkah itu bukan sahaja mampu menambah hasil pengeluaran getah negara, malah membantu meningkatkan pendapatan pemilik kebun dan penoreh.

Menurut beliau, agensi seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sentiasa berusaha memastikan kebun yang tidak bertoreh dapat diusahakan semula melalui pelbagai program.

Antaranya Program Pemulihan Kebun Getah Terbiar yang bertujuan memastikan kebun getah yang tidak diusahakan selama dua tahun dapat ditoreh semula.

“RISDA turut menyediakan pelbagai bantuan kepada pekebun kecil termasuk set membuka torehan, baja serta penyelenggaraan kebun,” katanya.

Beliau berkata penanaman semula getah dan pembukaan kebun getah baharu juga menjadi pintu masuk kepada pekebun kecil untuk menikmati pelbagai bantuan yang disediakan RISDA.

Bantuan tersebut merangkumi khidmat nasihat teknikal, input pertanian, prasarana ladang serta program peningkatan ekonomi melalui keusahawanan dan agromakanan, selain pembangunan modal insan dan institusi.

Datuk Muhar berkata demikian selepas menghadiri Program Kemakmuran Pekebun Kecil Parlimen Kulim Bandar Baharu di Pusat Aktiviti Kampung Teluk Sera, di sini.

Sempena program itu, beliau turut menyerahkan sumbangan barangan keperluan harian kepada beberapa penerima terlibat.

Sumber: Berita RTM

Anda suka artikel ini? Kongsikan

Facebook
X
LinkedIn
Pinterest
WhatsApp
Telegram
Email