Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menetapkan sasaran untuk mengurus sebanyak 70,000 metrik tan hasil getah pekebun kecil di Sabah melalui pembangunan rangkaian depoh pengumpulan hasil yang akan diwujudkan di seluruh negeri.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah strategik itu selaras dengan pelaksanaan Model Transformasi RISDA (MTR) 2026–2030 yang bertujuan mengembalikan kegemilangan Malaysia sebagai pengeluar getah utama dunia.
“Melalui model tersebut RISDA menyasarkan pengeluaran getah negara mencecah 1 juta tan metrik setahun menjelang 2030, sekali gus memastikan pendapatan pekebun kecil kekal kompetitif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, inisiatif itu merangkumi pembinaan 10 depoh pengumpulan hasil getah di Sabah menjelang akhir 2026. Depoh berkenaan berfungsi sebagai pusat timbang, rekod dan pembayaran secara lebih sistematik serta mewujudkan rangkaian pemasaran berkelompok yang tersusun.
“Kemudahan ini dijangka memberi manfaat kepada 74,625 pekebun kecil, termasuk 30,228 di bawah seliaan RISDA, dengan membantu mereka memasarkan hasil secara lebih cepat, selamat dan bebas daripada kebergantungan kepada orang tengah,” katanya lagi.
Menurut Ahmad Zahid, depoh yang akan diuruskan oleh RISDA Plantation Sdn Bhd (RPSB) itu bukan sahaja dapat meningkatkan keberkesanan pengumpulan hasil malah berperanan memperkukuhkan keseluruhan ekosistem pemasaran getah di Sabah.
“Kerjasama strategik antara RISDA dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) juga dijangka memberi pulangan lebih tinggi kepada pekebun melalui rantaian jualan yang telus, pengurangan manipulasi harga serta pemulihan keyakinan terhadap pasaran,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, RISDA turut memperluas akses perkhidmatan kepada pekebun kecil melalui Pusat Timbang dan Stor (PTS), Pemasaran Getah Bergerak (PGB) serta pelaksanaan Program Pengeluaran Getah Negara (PETARA) yang menumpukan usaha memulihkan kebun terbiar selain meningkatkan produktiviti hasil getah.
Beliau turut berkata, pembangunan pekebun kecil tidak boleh bergantung kepada bantuan semata-mata, sebaliknya memerlukan ekosistem lengkap meliputi produktiviti, pemasaran, logistik dan pengurusan data.
“Dengan komitmen semua pihak, pekebun kecil getah di Sabah mampu kekal sebagai penyumbang utama ekonomi desa serta menjadi penggerak penting industri getah negara menuju sasaran satu juta metrik tan menjelang 2030,” katanya lagi.
Sumber: Malaysia Tribune
